Wednesday, December 1, 2010

Awas SMS Penipuan Masih Berleluasa

Warga emas
terima SMS tipu

ALOR SETAR
- Sistem pesanan ringkas (SMS) yang menawarkan ribuan ringgit kepada pengguna telefon bimbit masih berleluasa walaupun pelbagai tindakan dan peringatan dikeluarkan kepada mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

Sinar Harian sering mendapat aduan berhubung kegiatan ini yang menjerat orang ramai untuk mendapatkan jumlah wang yang besar dengan cara yang mudah.

Baru-baru ini, pengadu, Ahmad Mat Arif, 79, berkata, SMS diterima bulan lalu yang menyatakan bahawa kad sim nombor telefon bimbitnya adalah bertuah dan memenangi wang berjumlah RM17,000 daripada sebuah syarikat minyak.

Menurutnya, dia yang kurang pasti dengan SMS yang diterima, mengambil tindakan dengan menghubungi semula nombor yang menghantar mesej tersebut.

“Saya cuba menghubungi individu tersebut untuk menanyakan mengenai mesej yang dihantar lalu dia mengarahkan saya untuk memberikan nombor akaun bank.

“Apabila saya menanyakan tujuan untuk memberikan nombor akaun, dia tidak menjawab dan apabila saya tidak memberikan nombor akaun, dia terus meletakkan telefon bimbit,” katanya.

Ahmad berkata, bagi mendapatkan kepastian dan penjelasan, dia turut menghubungi syarikat minyak tersebut dan pihak itu menafikan perkara berkenaan.

Menurutnya, syarikat minyak itu turut menasihatkan supaya saya tidak mempercayai SMS ataupun panggilan yang menawarkan hadiah ataupun wang ringgit daripada syarikat tersebut.

“Mereka memaklumkan kepada saya, jangan mempercayai perbuatan yang dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab kerana itu kadangkala memberi kesan kepada nama syarikat.

“Saya juga bimbang sekiranya orang ramai mempercayai SMS yang mereka terima dan memberikan nombor akaun kepada mereka yang tidak dikenali semata-mata untuk mendapatkan hadiah dan wang,” katanya.

Sebelum ini, dia juga pernah menerima tawaran yang sama, namun menggunakan kaedah yang berbeza pada tahun lalu.

Ahmad berkata, pada waktu itu dia menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memaklumkan mengenai tawaran tersebut.

Namun katanya, tindakan yang sama turut diambil oleh pemanggil itu dengan mematikan panggilan apabila ditanya mengenai tujuan nombor akaun diberikan.

“Apabila saya tidak beri nombor akaun, dia terus meletakkan telefon tanpa menjawab soalan yang saya ajukan.

“Saya berharap supaya orang ramai terutamanya golongan warga emas jangan mudah terpengaruh dengan perkara ini,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/

1 comment:

Anonymous said...

masih ada saki baki sindiket penipuan sms ni yang mahu menghidupkan kembali kegiatan dorang. jangan mudah percaya. sapa nak bagi duit ribu2 tu senang2 je.

Jemput baca : Masih Ada Mangsa Internet Fraud