Pusat Islam , Universiti Utara Malaysia ( UUM ) – Yayasan Nusrah dengan kerjasama pihak Pusat Islam Universiti Utara Malaysia telah berjaya mengadakan satu bengkel penulisan,iaituBengkel Penulisan Ilmiah / Islami pada 4 dan 5 Mei yang lalu bertempat di Makmal Komputer, Pusat Islam. Antara yang turut menjayakan bengkel ini adalah Ustaz Yusnaidi dari Pusat Islam, wakil Yayasan Nusrah sendiri iaitu Dr.Nadiyah Elias dan Huda Shafie. Pihak Yayasan Nusrah telah menjemput seorang penceramah iaitu Encik Fauzul Na’im bin Ishak, Pengurus Besar (Penerbitan) Kumpulan PTS yang juga merupakan Pengarah Urusan Syarikat Kumpulan Fauzul Na’im Sdn. Bhd.(FNSB) untuk berkongsi ilmu mengenai dunia penerbitan buku yang semakin menarik perhatian pengarang – pengarang muda hari ini.
Bengkel yang telah diadakan selama dua hari ini telah berjaya mendapat sambutan pensyarah – pensyarah dan pelajar –pelajar PhD dari UUM sendiri. Antara yang dinantikan dan menarik perhatian peserta – peserta bengkel ini adalah kaedah mudah dan cepat yang digunakan untuk mengarang buku dalam pelbagai genre dan menepati sasaran dan isu semasa hari ini. Kaedah yang diperkenalkan telah terbukti berkesan untuk pengarang – pengarang yang sibuk dengan urusan harian namun kegigihan dan usaha untuk mengarang masih menebal dalam diri. Dengan kaedah yang diperkenalkan ini telah membuka mata dan ruang kepada golongan ini untuk terus berkarya demi cinta yang mendalam dalam dunia penulisan.
Para peserta juga telah didedahkan dengan pelbagai isu seperti Hak Cipta pengguna dan pengarang serta penerbit, statistik dunia penulisan, langkah – langkah penulisan, kelemahan dan kekuatan penulisan. Pelbagai isu menarik diolah dan dikupas bagi memudahkan peserta memahami dan lebih cenderung untuk berfikir secara kritis dan kreatif. Teknik – teknik penulisan yang mantap juga dijelaskan satu per satu supaya peserta lebih dekat dengan sasaran pembaca dengan kualiti hasil penulisan.
Waluapun internet kini menjadi pesaing kepada penerbitan bahan bacaan, namun masih ramai pembaca yang lebih dominan dengan bahan bacaan bercetak seperti buku, majalah dan akhbar kerana setiap isu yang dibangkitkan dikupas dan diolah dengan lebih menarik dan padat. Ini adalah salah satu faktor penarikan kepada pengarang untuk terus berkarya dan menterjemah idea serta pendapat agar lebih ramai pembaca yang mendengar suara mereka, kata mereka dan ideologi mereka.
No comments:
Post a Comment