Thursday, November 18, 2010

Sekitar Korban Yayasan Nusrah Di Malaysia

Syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izinNya Yayasan Nusrah telah berjaya menjayakan Korban 1431H dengan sempurna pada hari raya kedua yang lalu. Bertempat di Derang, sebanyak 3 ekor lembu telah ditumbangkan.

Setelah disembelih, daging-daging tersebut telah dibawa ke Dewan Al-Bukhari, Maahad Tarbiah Islamiah Derang untuk aktiviti melapah dan memproses.Dengan bantuan daripada pekerja dan sukarelawan serta beberapa orang penduduk setempat, kesemua mereka telah berganding bahu melapah daging-daging tersebut untuk diagihkan kepada ibu tunggal.


Daging yang sedia untuk diproses

Memunggah turun daging dari van

Membungkus daging mengikut sukatan

Memasang kotak daging

Sekitar aktiviti melapah tersebut, seorang penduduk tempatan yang ingin dikenali sebagai Cik Mat telah menawarkan diri untuk membantu melaksanakan korban pada tahun-tahun akan datang. Lebih daripada itu, beliau sendiri mencadangkan rumahnya dijadikan tapak penyembelihan dan pemprosesan.Pihak yayasan sangat berbesar-hati dengan pelawaan tersebut dan berharap rancangan tersebut dapat dilaksanakan seperti yang dirancangkan.

Agihan bahagian-bahagian daging korban tersebut kepada golongan ibu tunggal akan di adakan di pejabat Yayasan Nusrah pada hari raya ke-4 ini bermula jam 9 pagi. Ia akan berlangsung serentak dengan penganjuran rumah terbuka Yayasan Nusrah. Semua Muslimin dan Muslimat yang tinggal di sekitar Kubang Pasu, Alor Star serta yang mempunyai kelapangan dijemput hadir memeriahkan rumah terbuka Yayasan Nusrah


Dalam pada masa yang sama, satu delegasi daripada Yayasan Nusrah telah berlepas ke Kemboja atas tujuan mewakili peserta-peserta korban dan Akikah Yayasan Nusrah di Kemboja. Delegasi dari Yayasan Nusrah tersebut telah diwakili oleh Cikgu Suhaidi Bin Sujak dan En Padli Saed. Sebanyak 10 ekor lembu akan dikorbankan di Kemboja di 3 buah kampung.

Moga-moga semua urusan kita semua dipermudahkan dan mendapat keredhaan dari Allah s.w.t.

Sabda Baginda Nabi Muhammad s.a.w :

"Tiada suatu amalanpun yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban, lebih dicintai oleh Allah swt selain dari
menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu nanti di hari kiamat akan datang berserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya, kuku-kukunya dan sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanah, pahalanya telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kamu semuanya dengan pahala korban itu". (HR. Tirmidzi dan Ibn Majah)


"Tolong Menolong Kebaikan Bersama Dunia Akhirat"

No comments: