Tuesday, November 30, 2010

Bengkel Cuti Sekolah : Cekap Darab Siri 2

Semalam (Kelmarin) tanggal 30 November 2010, Bengkel Cuti Sekolah : Cekap Darab Siri 2 telah diadakan di Auditorium Perpustakaan UUM. Krew Yayasan Nusrah bersama Pengajar Utama Cekap Darab iaitu Ustaz Azman Khor Abdullah telah dibantu oleh beberapa orang fasilitator sepanjang mengendalikan program tersebut.

Sambutan yang diberikan amat memberangsangkan dengan kehadiran para pelajar sekolah yang terdiri daripada pelajar-pelajar tahun 1 hingga ke tahun 6. Penyertaan kali ini memperlihatkan kesungguhan para waris mendaftarkan nama anak masing-masing walaupun di saat-saat akhir. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua waris yang begitu komited dan dedikasi untuk melihat anak masing menghabiskan masa cuti sekolah kali ini dengan menyertai aktiviti berfaedah seumpama ini.

Siri 2 ini masih memberi fokus kepada memperkenalkan kaedah menyelesaikan masalah pengiraan darab secara mudah seperti yang telah dilakukan pada sesi pertama yang lalu. Walaupun terdapat sebilangan peserta yang telah menghadiri bengkel ini pada sesi pertama. penyertaan kali kedua ini dilihat sebagai ulangkaji kepada pembelajaran mereka yang lepas. Hal ini secara tidak langsung membantu mereka mengingati kaedah yang telah dipelajari dengan lebih baik. Bahkan teknik ulangan merupakan salah satu kaedah meningkatkan daya ingatan. Teknik ini juga merupakan salah satu teknik yang telah dipraktikkan oleh para Hafiz dan Hafizah Al-Quran di seluruh dunia.

Ustaz Azman bersama buku Cekap Darab beliau

Peserta yang hadir

Ustaz Azman sedang tekun mengajar para peserta

Adik-adik sedang mengisi petak kosong dalam jadual sifir masing-masing

Pelajar tahun 5 bersaing menyelesaikan permasalahan yang diberikan

Untuk makluman, buku Cekap Darab juga boleh didapati dengan harga RM 10 senaskhah di pejabat Yayasan Nusrah atau boleh hubungi pihak yayasan di talian 04-9190095.

"Tolong Menolong Kebaikan Bersama Dunia Akhirat"

Sunday, November 28, 2010

Thursday, November 25, 2010

Khutbah Jumaat

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“TANGGUNGJAWAB SOSIAL SATU TUNTUTAN”
(26 NOVEMBER 2010 / 19 ZULHIJJAH 1431H)

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “TANGGUNGJAWAB SOSIAL SATU TUNTUTAN ”

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Manusia adalah makhluk yang ‘Mujtamak’ ataupun insan bermasyarakat.Tanpa sokongan dan kerjasama manusia tidak akan dapat mencipta budaya dan tamadun. Dalam Islam konsep bermasyarakat adalah murni dan luas melangkawi agama, bangsa, warna kulit dan budaya. Hal ini di nyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 13:

Maksudnya : “ Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan.”.

Berdasarkan ayat tersebut, dapat difahami bahawa manusia diciptakan untuk saling kenal- mengenali dan saling berkerjasama antara satu sama lain serta bantu-membantu demi membina kehidupan yang sejahtera dengan di dokong iman dan takwa kepada Allah SWT. Dalam menghayati kehidupan bermasyarakat Islam amat menitik beratkan konsep tanggungjawab sosial, iaitu mengambil berat sesama manusia sebagaimana hadith Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang tidak mengambil berat di atas urusan orang muslimin maka bukanlah dia dari kalangan mereka. Dan sesiapa yang pada pagi hari mengutamakan perkara selain daripada agama Allah maka bukanlah dia daripada golongan orang yang diredhai Allah”(Riwayat at-Tabarani).

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Islam adalah agama persaudaraan. Ciri-ciri persaudaraan terkandung dalam nilai-nilai unggul seperti berbuat baik, berkasih sayang, hormat menghormati, tolong menolong, amanah, jujur, bertimbang rasa dan sebagainya. Jesteru nilai-nilai murni ini menjadi tunjang di dalam kehidupan bermasyarakat. Oleh itu, tuntutan berbuat baik atau melakukan kebajikan tidak terbatas kepada ibu bapa, adik beradik, ahli keluarga atau orang-orang yang ada pertalian darah dengan kita sahaja. Bahkan kita dituntut berbuat baik atau melakukan kebajikan kepada kawan-kawan, jiran tetangga bahkan kepada orang-orang yang kita tidak kenali termasuk juga terhadap haiwan dan makhluk-makhluk yang lain.

Lumrah kehidupan bahawa ada manusia yang hidupnya mewah dan kaya raya serta ada yang miskin melarat. Justeru syarak mewajibkan golongan yang berada mestilah membela golongan yang miskin dan lemah. Saban hari media massa memaparkan kisah penderitaan masyarakat, ada di kalangan mereka yang terlantar sakit, fakir dan miskin, ada yang dilanda pelbagai musibah bencana dan wabak penyakit. Mereka ini sebenarnya memerlukan bantuan dan pertolongan daripada kita. Kita boleh membantu mereka samada dengan wang ringgit atau sokongan moral. Ketahuilah bahawa ada dikalangan mereka memerlukan bantuan organ-organ untuk meneruskan kehidupan. Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia bahawa bilangan pesakit yang memerlukan pemindahan organ semakin meningkat di negara kita dan ia merupakan salah satu kaedah rawatan yang telah diterima ramai.
Bersempena dengan kempen pendermaan organ yang sedang giat dilaksanakan, mimbar menyeru kepada semua pihak marilah sama-sama kita menyahut seruan kempen ini dengan mendaftar diri sebagai penderma. Pendermaan organ adalah sebahagian amalan sedekah jariah kita demi menyelamatkan nyawa sesama manusia. Agama Islam mengharuskan pendermaan organ sebagaimana yang telah diputuskan dalam majlis Muzakarah Fatwa kebangsaan pada tahun 1970. Ketahuilah pendermaan organ merupakan satu pekerjaan mulia dan amalan yang mendapat pahala yang berterusan hingga ke alam akhirat. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 32:

Maksudnya:“ Dan sesiapa yang menjaga kehidupan manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga kehidupan manusia semuanya.”

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Umat Islam mempunyai peluang yang amat luas untuk melipatgandakan pahala khususnya bagi mereka yang dikurniakan harta dan wang ringgit yang banyak. Kerana itu, beruntunglah orang-orang yang diberi oleh Allah SWT. kelebihan suka menolong orang lain dan membantu di dalam kerja-kerja kebajikan. Sabda Rasulullah SAW :

Bermaksud: “ Sebaik-baik manusia yang memberi manfaat kepada orang lain”.
(Riwayat al-Qudhai)

Berdasarkan hadith tersebut, maka beruntunglah kita atau bagi sesiapa yang menjadi orang yang banyak memberi manfaat kepada sesama manusia, suka memberi bantuan dalam kerja-kerja kebajikan atau berusaha mengurangkan penderitaan terhadap musibah yang ditanggung oleh seseorang. Oleh itu, yang jelas bagi kita semua, bahawa seruan amalan suka menolong dan membantu orang lain adalah termasuk didalam amal ibadah, bahkan pahalanya lebih besar daripada beriktikaf di dalam masjid.

Ibnu Qayyim Rahimahu Allah menyatakan bahawa sesiapa yang berbuat baik dengan orang lain. Allah akan berbuat baik kepada dirinya, dan sesiapa yang bersifat rahmah kepada orang lain, Allah akan bersifat rahmah kepadanya, dan sesiapa yang memberi manfaat kepada orang lain, Allah akan memberi manfaat kepada dirinya, dan sesiapa yang menutup keaiban orang lain, maka Allah akan menutup keaibannya, dan sesiapa yang menegah kebaikan orang lain, maka Allah akan menegah kebaikan kepadanya dan sesiapa yang berhubung kepada yang lain dengan sifat tertentu Allah akan bermuamalah denganya sama dengan sifat itu di dunia dan di akhirat. Oleh yang demikian banyakkan membantu atau menolong orang yang memerlukan bantuan kerana Allah.

Justeru itu, mimbar Jumaat menyeru para jamaah dan seluruh umat Islam agar sama-sama menyemarakan amalan tanggungjawab sosial terutama demi menyelamatkan maruah dan nyawa sesama kita. Kerana sesungguhnya tersirat seribu rahsia dan hikmah disebalik semangat tersebut. Semoga hubungan yang baik dan semangat tolong menolong dapat mengukuhkan lagi ikatan ukhuwah sesama Islam.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, beberapa pengajaran dapat disimpulkan diantaranya, Pertama: Bahawa manusia tidak boleh hidup bersendirian. Oleh sebab itu, manusia tidak dapat lari dari hidup bermasyarakat yang saling perlu memerlukan dan saling bergantung antara satu sama lain. Kedua: Masyarakat yang hidup saling tolong menolong dan hidup dalam suasana ukhuwwah, akan hidup dalam keadaan aman dan sejahtera, makmur dan bahagia. Ketiga: Tuntutan menunaikan tanggungjawab sesama umat Islam atau melaksanakan hak mereka merupakan salah satu dari cabang iman. Sesiapa yang melaksanakan tuntutan ini akan mendapat ganjaran pahala serta dikasihi Allah SWT dan Rasul. Keempat: Semangat bantu membantu dan hidup berkasih sayang serta bertolak ansur dapat membentuk perpaduan yang jitu. Disamping ia dapat menghindarkan dari anasir-anasir yang tidak sihat, perbuatan khianat, fitnah dan sebagainya yang boleh mengancam kehidupan mesyarakat. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-Fusilat ayat 34:

Maksudnya:“ Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan yang jahat. Tolaklah kejahatan dengan cara yang baik; apabila tiba-tiba orang yang di antara kamu dan antara dia ada permusuhan, seolah-olah dia seorang sahabat karib”.

Khutbah penuh boleh didapati di : JAKIM

"Tolong Menolong Kebaikan Bersama Dunia Akhirat"

Ziarah dan Musyawarah Bersama Mudir Pusat Bimbingan Faidhul Ahmadiyyah

Semalam (Kelmarin) pengetua Pusat Bimbingan Faidhul Ahmadiyyah, Ustaz Ismail Bin Morad@Haji Ani telah datang menziarahi pejabat Yayasan Nusrah. Sekitar ziarah tersebut, kedua-dua belah pihak banyak membincangkan mengenai keperluan mencari dana membaik-pulih bangunan pusat bimbingan tersebut.

Difahamkan bangunan asal pusat bimbingan yang ditubuhkan pada tahun 1994 ini telah reput dimakan anai-anai dan memerlukan seberapa segera dana bagi tujuan baik-pulih tersebut. Pada masa ini, buat sementara waktu pusat tersebut terpaksa menyewa sebuah rumah di Taman Sri Kemuning 2. Fasa 1 pembinaan dianggarkan memerlukan sekitar RM300k bagi membina bangunan dua tingkat yang menempatkan kelas kepada para pelajar sebelum pembinaan tingkat ke-3 dilakukan dalam fasa berikutnya.

Sumbangan orang ramai amat dialu-alukan bagi bersama-sama membantu meringankan beban mengumpul dana Pusat Bimbingan Faidhul Ahmadiyyah. Mereka boleh dihubungi di :

No Tel : 017-5316617
Emel : Faidhul.ahmadiyyah@gmail.com
No A/C : 0982022006121 ( Ambank )





"Tolong Menolong Kebaikan Bersama Dunia Akhirat"

Monday, November 22, 2010

Bengkel Cuti Sekolah : Cekap Darab

Pada ketika ini sedang berlangsung satu bengkel cuti sekolah berkenaan Matematik di UUM. Bengkel yang dinamakan 'Cekap Darab' ini telah mendapat maklum balas yang amat positif daripada orang ramai berdasarkan jumlah penyertaan seramai hampir 90 orang peserta, hampir dua kali ganda daripada jumlah yang ditetapkan pada peringkat awal.

Bengkel ini dikendalikan oleh jurulatih utama 'Cekap Darab' iaitu En. Azman Khor Abdullah. Beliau merupakan penyusun buku 'Cekap Darab' yang dikeluarkan oleh Gelombang Jaya resources Centre dan disokong dan ditaja oleh Yayasan Nusrah sendiri. Untuk makluman semua, buku ini telah dicetak pada 2004 dan telah diulang cetak untuk edisi baru pada tahun 2010.

Yayasan Nusrah amat berbesar hati dengan penglibatan para ibubapa dan peserta dalam bengkel kali ini. Sekalung tahniah kepada pihak penganjur dan para peserta yang terlibat. Mudah-mudahan kesempatan menghadiri bengkel ini dapat sedikit-sebanyak memberi input yang bermanfaat kepada semua.

"Tolong Menolong Kebaikan Bersama Dunia Akhirat"

Friday, November 19, 2010

Thursday, November 18, 2010

Sekitar Korban Yayasan Nusrah Di Malaysia

Syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izinNya Yayasan Nusrah telah berjaya menjayakan Korban 1431H dengan sempurna pada hari raya kedua yang lalu. Bertempat di Derang, sebanyak 3 ekor lembu telah ditumbangkan.

Setelah disembelih, daging-daging tersebut telah dibawa ke Dewan Al-Bukhari, Maahad Tarbiah Islamiah Derang untuk aktiviti melapah dan memproses.Dengan bantuan daripada pekerja dan sukarelawan serta beberapa orang penduduk setempat, kesemua mereka telah berganding bahu melapah daging-daging tersebut untuk diagihkan kepada ibu tunggal.


Daging yang sedia untuk diproses

Memunggah turun daging dari van

Membungkus daging mengikut sukatan

Memasang kotak daging

Sekitar aktiviti melapah tersebut, seorang penduduk tempatan yang ingin dikenali sebagai Cik Mat telah menawarkan diri untuk membantu melaksanakan korban pada tahun-tahun akan datang. Lebih daripada itu, beliau sendiri mencadangkan rumahnya dijadikan tapak penyembelihan dan pemprosesan.Pihak yayasan sangat berbesar-hati dengan pelawaan tersebut dan berharap rancangan tersebut dapat dilaksanakan seperti yang dirancangkan.

Agihan bahagian-bahagian daging korban tersebut kepada golongan ibu tunggal akan di adakan di pejabat Yayasan Nusrah pada hari raya ke-4 ini bermula jam 9 pagi. Ia akan berlangsung serentak dengan penganjuran rumah terbuka Yayasan Nusrah. Semua Muslimin dan Muslimat yang tinggal di sekitar Kubang Pasu, Alor Star serta yang mempunyai kelapangan dijemput hadir memeriahkan rumah terbuka Yayasan Nusrah


Dalam pada masa yang sama, satu delegasi daripada Yayasan Nusrah telah berlepas ke Kemboja atas tujuan mewakili peserta-peserta korban dan Akikah Yayasan Nusrah di Kemboja. Delegasi dari Yayasan Nusrah tersebut telah diwakili oleh Cikgu Suhaidi Bin Sujak dan En Padli Saed. Sebanyak 10 ekor lembu akan dikorbankan di Kemboja di 3 buah kampung.

Moga-moga semua urusan kita semua dipermudahkan dan mendapat keredhaan dari Allah s.w.t.

Sabda Baginda Nabi Muhammad s.a.w :

"Tiada suatu amalanpun yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban, lebih dicintai oleh Allah swt selain dari
menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu nanti di hari kiamat akan datang berserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya, kuku-kukunya dan sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanah, pahalanya telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kamu semuanya dengan pahala korban itu". (HR. Tirmidzi dan Ibn Majah)


"Tolong Menolong Kebaikan Bersama Dunia Akhirat"

Tuesday, November 16, 2010

Selamat Hari Raya Aidiladha 1431H


Pihak pentadbiran Yayasan Nusrah mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha 1431H kepada semua Muslimin dan Muslimat.

"Tolong Menolong Kebaikan Bersama Dunia Akhirat"

Monday, November 15, 2010

Menerokai Peluang Usahasama Bersama Usahawan Berjaya

Umi Nadiyah bersama En. Azahar dan Isteri

Yayasan Nusrah telah berjaya mengorak langkah ke hadapan apabila berjaya menerokai satu lagi peluang usahasama dalam bidang perniagaan bersama-sama dengan Encik Azahar Abdul Rahman, usahawan online dan penulis buku di PTS Publications.

Sedikit biodata beliau:

Sekembali dari luar negara beliau kembali berkhidmat bersama Mesiniaga Sdn Bhd (sole agent and disbributor) untuk IBM Malaysia. Di sini beliau didedahkan dengan dunia komputer dan internet. Minat pada komputer dan bisnes internet menyebabkan beliau sering menggunakan masa terluang menerokai bidang itu.

Beliau kemudiannya menubuhkan syarikat D-Men Resources (M) Sdn Bhd, (DRSB) pada tahun 2001 yang terlibat dengan bidang pendidikan di peringkat sarjana. Melalui DRSB, penulis menawarkan prasarana untuk Universiti Utara Malaysia di kampus milik DRSB yang dikenali sebagai Kampus Kulim menggantikan Kampus UUM Sungai Petani, Kedah.

Memandangkan keperluan bidang latihan dan kursus luaran yang mendapat permintaan yang tinggi, Penulis kemudian menubuhkan KIC Management Sdn Bhd yang mengadakan kerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, menawarkan kursus-kursus Diploma Eksekutif dan juga dengan Space, Universiti Teknologi Malaysia bagi kursus kursus jangka pendek.

Minat mendalam terhadap bidang internet menyebabkan beliau banyak membaca buku buku berkaitan bisnes di internet yang ditulis oleh mereka mereka yang berjaya dalam bisnes internet antara yang terkenal seperti:

  1. Corey Ruld

  2. Rosalind Gardner

Ia mendorong penulis menerokai bidang bisnes internet secara serius. Beliau kemudian menubuhkan Artmand Corporation Sdn Bhd yang mengendalikan bisnes beliau di internet serta menjadi reseller kepada syarikat webhosting Emerge System (M) Sdn Bhd.

Melalui kaedah kaedah yang dicuba dan terbukti berjaya menghasilkan pendapatan kepada beliau, beliau menulis sebuah buku yang memberikan penerangan secara terperici supaya dijadikan panduan kepada mereka yang berminat menceburi bisnes di internet.

Sumber : http://pts.com.my/index.php/penulis/bio/1893/

"Tolong Menolong Kebaikan Bersama Dunia Akhirat"

Sunday, November 14, 2010

Jemputan Ke Rumah Terbuka Korban 1431H Yayasan Nusrah

Yayasan Nusrah berbesar hati menjemput tuan/puan/encik/cik ke majlis rumah terbuka Yayasan Nusrah yang akan dianjurkan sempena Hari Raya Aidil Adha 1431H. Majlis ini akan di adakan serentak dengan upacara pengagihan daging sembelihan kepada golongan ibu tunggal yang telah disenaraikan oleh pihak Yayasan.

Maklumat lanjut penganjuran program adalah seperti berikut:

Tarikh : 20 / 11 / 2010 (Raya ke-4)
Hari : Sabtu
Masa : 9.00 Pagi - 3.00 Petang
Tempat : Yayasan Nusrah, No 1 sisiran 7, Taman Siswa UUM, Bandar Darulaman, 06000, Jitra, Kedah

"Tolong Menolong Kebaikan Bersama Dunia Akhirat"



Usahawan Kecil Di bawah Pemantauan Yayasan Nusrah


Nama Usahawan : Siti Awan Binti Abdullah
Umur : 35 Tahun
Tahun Peluk Islam : 2005
Alamat : Kg Sg Durian, Pokok Sena, KEDAH

Biodata Ringkas:
  • Selepas memeluk Islam, Puan Siti pernah bekerja sebagai pencuci (janitor) di Politeknik. Setelah itu beliau mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang cahaya mata. Bermula pada ketika itu, beliau telah menjadi suri rumah sepenuh masa.
Keperluan Semasa :
  • Sedang mencari ikhtiar membina sebuah rumah sendiri. Masih dalam proses pembinaan dan telah siap kira-kira 60% daripada pelan asal.
Impian :
  • Membuka sebuah kedai menjahit pakaian sendiri pada masa hadapan dengan tujuan menyediakan perkhidmatan jahitan dan sulaman (Baju kanak-kanak, jubah, baju kurung, tudung dan lain-lain).
Perkhidmatan lain yang disediakan:
  • Barangan Zhulian, Toto Bundle, Sarung Bantal, Lapik Periuk dan lain-lain barangan.
No. Tel Untuk Di hubungi: 012-4501761 (Puan Siti Awan)

"Tolong Menolong Kebaikan Bersama Dunia Akhirat"

Tuesday, November 9, 2010

Gerakan Amal Membantu Mangsa Banjir

Pada 9 November 2010, krew Yayasan Nusrah telah menganjurkan gerakan amal membantu mangsa banjir membersihkan kediaman mereka. Lokasi yang dipilih adalah kawasan Taman Mahsuri Fasa 2A yang dilanda banjir. 70% peratus daripada taman itu telah ditenggelami banjir, kebanyakan perabot dan peralatan elektrik telah musnah. Dengan segala kudrat kurniaan Ilahi, krew Yayasan Nusrah membanting tulang membantu mangsa banjir tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit.

Krew Yayasan Nusrah memuatnaik bantal dan tilam nipis ke dalam kenderaan




















Salah seorang krew dalam proses mengangkut barang


Warga Taman Mahsuri mengerumuni kenderaan Yayasan Nusrah bagi mendapatkan barangan

Antara perabot yang rosak dibuang dikawasan pembuangan sampah

Kemusnahan barangan perabot

Krew yayasan bekerja kuat mengumpulkan sampah untuk dibuang


Beramah mesra dengan penduduk Taman Mahsuri

Krew dari Yayasan Nusrah

Sukarelawan melaksanakan tugasnya

Membersihkan barangan dapur

Membersihkan pakaian

Sukarelawan membantu dari rumah ke rumah


"Tolong Menolong Kebaikan Bersama Dunia Akhirat"

Sunday, November 7, 2010

Kerja-kerja pengagihan sedang dijalankan

Beberapa sukarelawan dan petugas yayasan nusrah sedang sibuk menjalankan kerja-kerja pengagihan barang bantuan yang telah diberikan oleh orang ramai. Dengan keprihatinan rakyat Malaysia yayasan nusrah mampu mengutip derma dan barangan terpakai seperti cadar,tilam nipis dan selimut yang telah didermakan oleh org ramai bagi membantu mangsa banjir.

Terima kasih diucapkan kepada yang menderma, semoga dengan keprihatinan yang telah ditunjukkan akan dibalas oleh Allah s.w.t di dunia dan akhirat.

Sekiranya anda masih lagi berminat untuk menghulurkan bantuan sila hubungi kami di talian 04-9190051 ataupun menghantar terus barangan yang ingin didermakan ke pusat pengumpulan barangan bantuan mangsa banjir di yayasan nusrah bertempat di Taman Siswa UUM ataupun beberapa tempat pengumpulan lain:

1) Bandar Baru Bangi - Ustaz Mohd Noor (0192224627)
2) Kuala Lumpur - Hubungi Yayasan Salam (03-79584021)
3) Alor Setar - Lot 3, Kompleks Perniagaan Sultanah Bahiyah(Ustaz Zuhair)
4) UUM - No.25 Taman Palma,Sintok Kedah( Puan Rohani)
5) Sungai Petani - Loo Tuck Lee (0164277929)859, Jln BPJ 2/20 Bandar Puteri Jaya 0800 S.Petani



- Antara barangan yang telah didermakan-


- Kerja-kerja pengagihan sedang dijalankan -



Bantuan Mangsa Banjir

Yayasan Nusrah sekarang sedang mengadakan program bantuan keperluan alat tidur untuk mangsa bencana banjir. Oleh itu pihak yayasan amat mengalu-alukan bantuan daripada pihak anda semua.

Sebagai permulaan antara barang-barang keperluan yang boleh disumbangkan:

1) cadar
2) bantal/ sarung bantal
3) kain batik / pelekat
4) set telekung
5) sejadah
6) selimut

Untuk memudahkan lagi pihak pengurusan telah menyediakan pusat-pusat pengumpulan bagi memudahkan bantuan disalurkan.

Kepada sesiapa yang ingin menyumbang sila hantar terus ke yayasan atau serahkan di tempat pengumpulan kami :

1) Bandar Baru Bangi - Ustaz Mohd Noor (0192224627)
2) Kuala Lumpur - Hubungi Yayasan Salam (03-79584021)
3) Alor Setar - Lot 3, Kompleks Perniagaan Sultanah Bahiyah(Ustaz Zuhair)
4) UUM - No.25 Taman Palma,Sintok Kedah( Puan Rohani)
5) Sungai Petani - Loo Tuck Lee (0164277929)
859, Jln BPJ 2/20 Bandar Puteri Jaya 0800 S.Petani

Dan untuk pengetahuan lebih lanjut sila layari laman web kami di http://www.yayasannusrah.com.my atau hubungi kami secara terus di talian 04-9190051.

Keprihatinan kerana sudi membaca dan menyebarkan kepada rakan-rakan lain amat kami hargai.

"Tolong Menolong Kebaikan Bersama Dunia Akhirat"