Ramai orang berminat untuk melakukan kerja amal, tetapi merasakan tidak mempunyai cukup masa untuk keluar berkecimpung di dalam persatuan atau yayasan kerana terikat dengan waktu kerja di pejabat. Untuk mengatur mensyuarat saja mengambil masa yang lama, dan satu-satu sesi mesyuarat mengambil masa yang begitu lama.
Tidak kurang juga, ramai yang ingin menyumbangkan wang untuk membantu orang lain, tetapi selalunya tidak tahu ke mana untuk ditujukan wang tersebut. Kadang-kadang kita kurang yakin apakah wang yang disumbangkan akan disalurkan dengan betul dan berkesan.
Kadang-kadang kita berminat untuk berkhidmat untuk mana-mana pertubuhan, tetapi susah untuk menjumpai pertubuhan yang boleh membantu kita menjalankan projek khidmat masyarakat yang kita anggap penting. Alangkah seronok jika kita boleh membina yayasan kita sendiri. Namun, membentuk satu yayasan memerlukan wang modal permulaan yang tinggi, dan komitmen tenaga yang begitu besar.
Bagaimana jika satu yayasan telah sedia terbentuk, di mana kita boleh memilih sendiri projek khidmat masyarakat yang akan kita jalankan mengikut keperluan setempat dan kemampuan komitmen kita sendiri. Bagaimana jika jalinan kerjasama telah sedia tersusun di mana kita boleh berkomunikasi dengan mudah bersama rakan sukarela sepasukan tanpa menghabiskan masa dengan terlalu banyak menyuarat.
Bayangkan ini: anda melihat satu keperluan. Anda menulis kertaskerja ringkas untuk menjalankan projek yang difikirkan boleh membantu. Dengan hanya memaparkannya dalam forum dan newsgroup, anda mendapat sepasukan sukarelawan. Bantuan kewangan mungkin tidak banyak, tetapi anda dan rakan mempunyai pelbagai saluran untuk berikhtiar. Selain dari sedikit modal permulaan yang boleh dimohon dari yayasan, anda boleh mewarwarkan kepada kumpulan penyumbang melalui langkah yang ringkas sahaja.
Inilah antara platform yang cuba disediakan oleh Yayasan Nusrah.
maassalaama
nadiyah
2 comments:
Asal saja nawaitunya baik, maka sudah semestinya usaha ini disokong 100%.
Salam Dr Nadiyah
Terlebih dahulu saya ingin merakamkan tahniah dan syabas kerana lahirnya Yayasan Kita dan pada masa yang sama menyusulnya mailing list dan juga blog.
Sekadar berkongsi setitis pengelibatan dalam kerja amal, Warga Kilang.Com iaitu suatu NGO yang bergerak semenjak awal 2000 mempunyai komuniti yang berhubung secara "on-line", hanya sekali-sekala pucuk pimpinan bersua muka untuk bermesyuarat tetapi kami tetap komitmen jika bergerak dalam aktiviti kemasyarakatan meredah perkampungan hulu, rumah kebajikan, bencana (banjir dan sebagainya) dan lain-lain. Ini kerana rata-rata Warga Kilang.Com adalah pekerja kilang dan agak sukar untuk berjumpa.
Insya-Allah dalam 'kesibukan' masing-masing dalam kampus, mailing-list dan blog ini akan menjadi penyambung silaturrahim kita.
Malah melalui blog jugalah (thejourney.weblog.uum.edu), saya dihubungi oleh pembaca-pembaca blog saya itu yang berhasrat untuk bersama-sama membuat sumbangan.
Insya-Allah, saya akan forwardkan permintaan seorang hamba Allah dari Pusat Pengajian Pondok di Sepang yang menghubungi saya pagi tadi kepada Dr. Nadiyah melalui email. Beliau (Puan Hajjah) dalam siri membuat beberapa sumbangan ke rumah-rumah anak yatim dan meminta permohonan saya untuk mengenalpasti lagi.
Tidak malu saya katakan, saya membuat semua sumbangan amal ini untuk mengharapkan balasan. Semoga saya mendapat balasan yang hakiki daripada-Nya.
Post a Comment